SENI SILAT GAYONG - Seni Silat Gayong Sebagaimana yang Diterangkan oleh Meor Abdul Rahman
oleh:A.Samad Said(majalah Mastika, Mac 1958)
Pada 9 haribulan Oktober 1957 "Seni Silat Gayong" telah dipertunjukkan kepada ramai di Victoria Memorial Hall di dalam "Malam Seni". Itulah pertama kalinya, saya kira, orang ramai di Singapura dapat berkenalan dengan "Seni Silat Gayong" secara dekat.
Pada waktu ia diperkenalkan itu sambutan orang sebegitu meriah sekali, terutama apabila dalam acara yang dihidangkan itu ada dipertunjukkan suatu perlawanan - berseni silat gayong - antara seorang wanita dan seorang pria. Tentang kesan pertunjukan ini mencukupilah kalau saya perturunkan saja ulasan sambil lalu mengenainya yang berbunyi:"Seni Silat Gayong ini sungguh menarik hati penuh kengerian dan kehebatan..."(Utusan Zaman, 13-10-57) dan "Silat Gayong yang ditunjukkan oleh seorang wanita muda dan seorang pemuda gagah sungguh-sungguh mengkagumkan di samping mengerikan..."(Utusan Film dan Sports, 15-10-57).
Seni Silat Gayong, asli?
Berikutan dengan pertunjukannya itu, Seni Silat Gayong kemudiannya dipertunjukkan pula pada "Malam Kebudayaan Melayu" di Singapura dan pada "Malam Kebudayaan" di Melaka. Sambutan orang tetap baik juga. Hanya sesudah pertunjukannya diadakan di Melaka itu sajalah, maka baru soal asli tidak aslinya Seni Silat Gayong itu timbul, yang kemudiannya disusul pula oleh beberapa persoalan-persoalan kecil berkisar di sekitarnya, tapi hebat.
Keraguan pertama datangnya dari Saudara Berjat (Utusan Zaman, 12-1-58) dan kemudiannya turut berbicara pula Saudara-saudara Hang Jebat (Utusan Zaman, 26-1-58) dan Hang Lembu (Utusan Zaman, 2-2-58) serta beberapa orang penulis lain. Soal pokok yang sebenarnya hanyalah dibicarakan oleh penulis pertama saja. Dia berpendapat bahawa Seni Silat Gayong bukanlah seni silat Melayu asli, walaupun dia mengakui bahawa seni silat Melayu asli sudah ada sebelum zaman Hang Tuah lima bersaudara dan berkata selanjutnya bahawa tidak salah kalau dikatakan Seni Silat Gayong adalah hasil daripada "perkahwinan Silat Melayu dengan Judo Jepun". Itulah sebenarnya soal pokoknya, SOAL YANG DIRAGUKAN. Tulisan-tulisan dari penulis-penulis lain ada menunjukkan keraguan masing-masing tentang keaslian Seni Silat Gayong itu juga (tapi tidak begitu sungguh-sungguh) walaupun soal-soal lain - soal-soal kecil turut diheret juga dengan tidak benar-benar mendukung maksud tertentu: soal Seni Silat Gayong tersembunyi dalam "tong" Hang Tuah, umpamanya (Utusan Zaman, 26-1-58).
KERANA KESAN DARI KESAMARAN INI MAKA SAYA BERUSAHA MENEMUI SAUDARA MEOR ABDUL RAHMAN, GURU SENI SILAT GAYONG, UNTUK MEMINTA PENERANGANNYA BAGI PENGETAHUAN PEMBACA MASTIKA DENGAN TIDAK MENYEBELAH KEPADA PIHAK "ASLI" ATAUPUN PIHAK "TIDAK ASLI" DAN DI BAWAH INILAH HASIL PENERANGAN YANG SAYA PEROLEH DARI SAUDARA(MEOR ABDUL RAHMAN) TERSEBUT.
Betapa pun tulisan ini tidaklah ditulis secara menyeluruh, kerana pada pokoknya pertanyaan-pertanyaan saya hanya berkisar atas soal apakah Seni Silat Gayong itu sebenarnya seni silat Melayu asli, dan kalau benar, mengapa pula hanya baru akhir-akhir ini ia didengar, atau diketahui umum.
Kepada pertanyaan yang pertama, jawapan Saudara Meor ialah:"SILAT SENI GAYONG SEMEMANGNYA SENI SILAT MELAYU ASLI" dan sebelum menjawabnya lebih jauh lagi, molek rasanya diterangkan dulu tentang sebab-sebab mengapa baru sekarang ini Seni Silat Gayong itu 'dikenali' atau 'dikenalkan'."
Mula Diperkenalkan
Pada pagi tanggal 17 Februari 1942 satu peristiwa yang bersejarah telah berlaku di Pulau sudong (sebuah pulau kecil berdekatan dengan Pulau Singapura). Dan pada hari berlakunya peristiwa itu jugalah, Seni Silat Gayong yang sememangnya sudah lama ada itu (demikian yang diterangkan) baru "ditimbulkan" kembali.Maka berertilah bahawa tarikh 17 Februari 1942 itu bolehlah disifatkan sebagai hari pertama Seni Silat Gayong itu "dikenalkan" kepada ramai, walaupun tidak secara sungguh-sungguh atau secara lebih praktis.
Pada tarikh tersebut orang-orang di Pulau Sudong berada di dalam keadaan yang serba membimbangkan. Berita pendaratan tentera Jepun di pulau itu sudah didengar, dan hati masing-masing begitu khuatir bila mendengarkan berita bahawa orang-orang Jepun ini "menganiayai" anak-anak gadis. Hati ibu bapa yang mempunyai anak gadis lebih menjadi gusar.
Jepun Mendarat
"Pada ketika itu saya berada di Pulau Sudong," kata Saudara Meor (tidak saya tanyakan mengapa),"berita pendaratan askar jepun dan keraguan serta kekhuatiran orang-orang kampung kerana kedatangan orang-orang Jepun itu saya dengari. Kami semua berkumpul akhirnya, maklum membicarakan soal keselamatan anak-anak gadis kami yang berada di dalam bahaya. Lalu soal anak-anak gadis itu pun kami rundingkanlah."
"Di pulau itu ada seorang sahabat saya namanya Muhammad Naning.Dia seorang yang baik, kerjanya menangkap ikan dan dia sering menangkap ikan di Pulau Pelampung. Bersama dia jugalah kami rundingkan soal ini. Malah kerana kawan ini jugalah maka saya diajaknya berunding."
"Bermacam-macam soal untuk menjaga keselamatan anak-anak gadis di pulau itu telah kami bincangkan. Ada yang menyuruh supaya dilarikan saja anak-anak gadis itu ke suatu tempat, dan yang lebih berani pula menyuruh supaya melawan saja orang-orang yang mencuba hendak merosakkan anak-anak gadis kampung itu, dan bermacam-macamlah fikiran orang."
"Jelas benarlah keadaan orang-orang di pulau itu membimbangkan. Apalagi berita kedatangan orang-orang Jepun itu semakin hampir benar itu sudah semakin diribut-ributkan, sedang Pulau Bukum pula di waktu itu kami perhatikan sedang terbakar merah. Pendeknya ini menambahkan lagi kekhuatiran kami."
"Sahabat saya, Saudara Muhammad Naning, meminta fikiran saya. Saya dapati tidak ada jalan lain selain dari menunggu saja bala itu atau menentang mereka yang ingin menceroboh itu."
"Nampak benarlah orang menaruh harapan kepada saya, sebab ada kawan yang tahu bahawa saya tahu serba sedikit tentang ilmu mempertahankan diri. Dan kerana orang sudah menaruh harapannya kepada saya, tidaklah baik rasanya saya membiarkan harapan orang, lebih-lebih lagi kerana saya ada di pulau itu. Lalu saya pun memberilah buah fikiran saya dan menganjurkan sekali apa yang seharusnya dibuat."
Pemuda, Keris, Periuk dan Minyak
Apa yang dianjurkan oleh Saudara Meor Abdul Rahman ialah supaya memberinya lima orang pemuda dengan lima bilah keris. Kepada lima orang pemuda ini diajarnyalah - secara ringkas dan tergesa-gesa - seni mempertahankan diri itu. Dan diberinya air penawar dan lain-lain lagi. Semuanya dilakukan dalam darurat belaka.
Beberapa biji periuk telah dimintanya untuk dikikiskan dan diambil arangnya. Arang ini dicampurkan dengan minyak kelapa, disapukan ke muka beberapa orang perempuan yang tua-tua, dan perempuan-perempuan tua inilah yang ditempatkan di bawah sebatang pokok, manakala anak-anak gadis ditempatkan di sebuah rumah yang khas, dengan dikawali oleh lima orang pemuda bersama-sama dengan Saudara Meor sendiri.
Orang Jepun mendarat dan datang untuk mencari anak-anak gadis. Tapi yang ditemui mereka ialah perempuan-perempuan hitam mukanya, perempuan-perempuan itu tua dan tidak cantik, maka mereka pun berlalulah.(Pada waktu ini berlaku boleh dikatakan semua orang-orang kampung berdoa sajalah supaya terlepas dari bencana; kebanyakannya membaca al-Quran).
Walaupun ada juga nampaknya orang-orang Jepun itu - askar-askar Jepun - hendak ke rumah di mana perempuan-perempuan muda itu ditempatkan (kerana kekhuatiran, beberapa orang sentiasa melemparkan pandangannya ke rumah tempat perempuan-perempuan itu ditempatkan, hingga askar Jepun itu merasa syak), tapi barangkali kerana sudah ditakdirkan oleh Tuhan, maka mereka berlalu saja. Maka selamatlah semua dari bahaya itu. Dan tidaklah berlaku sebarang pertarungan.
Berlalunya peristiwa itu rupanya membuka satu jalan baru bagi ilmu yang diajarkan (pada mulanya secara tidak sungguh-sungguh, kerana ketergesaan) oleh Saudara Meor Abdul Rahman itu. Pemuda-pemuda yang belajar seni mempertahankan diri itu dan mereka yang menyaksikannya - orang-orang di Pulau Sudong - ingin mempelajari tentangnya, mempelajari lebih sungguh-sungguh lagi.
Maka di Pulau Sudong itulah mula pertamanya tentang Seni Silat Gayong itu "diumumkan" dan kepada pemuda yang lima orang itulah Seni Silat Gayong itu diajarkan manakala yang lain-lain pula turut bercampur kemudiannya.
Tentang mengapa baru pada waktu itu diajarkan kepada pemuda-pemuda itu, tidak pada waktu sebelum bahaya mengancam Pulau Sudong, saudara Meor menerangkan bahawa:"ilmu Seni Silat Gayong ini hanya saya ajarkan pada ketika itu kerana waktu yang sungguh sesak, iaitu pada waktu yang betul-betul memerlukannya. Pada ketika demikian itulah ilmu itu direlakan mengajarkannya."
Ada Sebelum 1511
Dengan penerangan itu, maka jelaslah bahawa Seni Silat Gayong itu bukanlah baru ini adanya(demikian pengakuan Saudara Meor). Dan bukan pula baru pada tahun 1942 itu adanya. Ia sudah ada lama. Malah menurut Saudara Meor Abdul Rahman:"Seni Silat Gayong ini sudah ada sejak tahun 1511, sewaktu negara Melaka jatuh ke tangan Portugis."
"Ini dapat saya buktikan," kata Saudara Meor,"dengan peristiwa yang berlaku dalam tahun 1507 sewaktu Hang Tuah diperintahkan oleh Sultan Melaka untuk pergi ke negeri Siam membeli gajah. Di Siam Hang Tuah telah diuji kepahlawanannya apabila dia berhadapan dengan seorang pahlawan bangsa Jepun. Perjuangan hebat telah berlaku dan pahlawan Jepun itu dapat dikalahkan oleh Hang Tuah. Dengan Seni Silat Gayonglah Hang Tuah mengalahkan lawannya."
"Silat Gayong ini merbahaya benar," saudara Meor menerangkan. Kerana itulah maka Hang Tuah dapat mengalahkan lawannya itu. (Pada peringkat ini ada saya tanyakan tentang sama ada Seni Silat Gayong itu benar-benar tidak terbabas dari ajaran agama Islam dan dari petunjuk Tuhan dan Nabi-Nya, sebagaimana yang dikatakan orang (Utusan Zaman, 26-1-58). Saudara Meor tegas mengatakan:"Ia sememangnya tidak terbabas, malah kerana tidak terbabasnya itulah maka ia lebih berkesan. Seni Silat Gayong ini bukanlah ditujukan untuk "ditunjuk-tunjuk" atau "dilawan-lawankan" belaka, tapi untuk digunakan sebagai alat mempertahankan diri, dan ia mendapat kekuatan dari ayat-ayat suci."
Berasal Dari Orang Ghaib?
Soal bagaimana Seni Silat Gayong itu "sampai" kepada Saudara Meor Abdul Rahman memang menjadi pertanyaan yang pokok dalam pertemuan saya dengannya itu, pertama, kerana soal ini mendapat perhatian benar dari beberapa orang yang mengatakan bahawa Saudara Meor "mendapat" Seni Silat Gayong ini dari orang-orang ghaib (Utusan Zaman, 26-1-58).
"Benarkah begitu, saudara?" saya menanyanya.
Saudara Meor ketawa saja. Katanya, dalam ketawa itu juga:"Saya kira itu tak payahlah saya menjawabnya. Orang tentulah akan mentertawakan saja kalau dikatakan saya menerima ilmu Silat Gayong itu melalui orang-orang ghaib, kan tak masuk akal?"
Dengan lain-lain perkataan, menerima ilham dari orang-orang ghaib tentu "menciptakan" Seni Silat Gayong itu, tidaklah sama sekali diakui kebenarannya oleh Saudara Meor. Katanya:"Saya bukanlah orang istimewa untuk menerima ilham sedemikian. Saya hanya orang biasa, dan saya menerima ilmu itu pun dari orang biasa juga."
Lalu diterangkanlah kisah sebenarnya - dari siapa dia mendapat ilmu Seni Silat Gayong itu...
Orang Tua 120 Tahun Mengajar
Saudara Meor "mendapat" Seni Silat Gayong ini dari datuknya. Datuknya inilah Tuan Syed Zainal bin Syed Idris dari keluarga al-Attas yang tinggal di Pahang. Beliau ini adalah sahabat baik kepada Sultan Ahmad Pahang. Dan beliau mempunyai beberapa orang murid, di antaranya termasuklah Orang Kaya Bahaman.
"Bila ketikanya ilmu itu diberikan kepada saudara?" saya lanjut bertanya.
"Dalam tahun 1934," jawabnya. Dan ketika itu datuknya berusia 120 tahun, tapi masih tegap lagi orangnya.
"Apakah tujuan utama dia mengajarkan Seni Silat Gayong itu kepada saudara?" saya tanya lagi.
Katanya, tujuan utamanya tidaklah lain dari untuk mempertahankan diri belaka dan menurutnya, datuknya memberinya ilmu Seni Silat Gayong itu hanya kerana beliau mengira bahawa itu sajalah pusaka yang dapat ditinggalkannya kepada cucunya. "Pusaka itu bukanlah untuk dibangga-banggakan."
Ibu Segala Seni Silat
Soal mengapa Seni Silat Gayong itu diajarkan, sedang seni silat Melayu - pencak - ada, saya tanya juga. Dan tentang ini Saudara Meor mengatakan bahawa:"Seni Silat Gayong ini melingkupi berbagai-bagai seni mempertahankan diri lainnya, seperti (teknik) kuntau, judo, gusti dan lain-lain lagi. Dapatlah saya katakan ia menjadi IBU SENI SILAT. Ia sebenarnya mempunyai 349 "se" - yang sudah saya ajarkan hanyalah 179 "seni"(tahun 1958) saja. Yang selebihnya belum saya ajarnikan lagi. "Seni-seni" itu lebih merbahaya pukulannya. Sungguh pun begitu haruslah saya tegaskan lagi bahawa Seni Silat Gayong BUKANLAH seni sembarangan, di dalamnya ada digunakan ayat-ayat suci. Pendeknya ia berdasarkan keagamaan."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan