Nama Gayong
Perkataan SILAT itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian pelajaran GAYONG, dan pelajaran GAYONG itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan, yang terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu pergerakan pantas secara automatik. GAYONG yang mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk, tikam-menikam, tangkap-menangkap, hempas-menghempas, buang-membuang, sekat-menyekat, elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis dan seumpamanya lagi itu adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki dan wanita. Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau lawan. Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan, kepantasan, kecekapan, keazaman, dan kepintaran masing-masing untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, maka di dalam pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan GAYONG. Tetapi pelajaran SILAT yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran GAYONG itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu, tidaklah persembahan itu lebih merupakan suatu pertarungan yang sungguh-sungguh berlaku di situ, malah hanya persembahan itu lebih merupakan sebagai satu daripada ciri perlawanan yang dipersembahkan secara imbasan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan dan kesenian bunga-bunga tarian dalam pelajaran GAYONG yang disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar, bertatatertib, tidak melanggar kesopanan dan kesusilaan dan tertakluk pula kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama itu dinamakan BERSILAT.
Erti GAYONG
Ga - Genggam
Berpegang kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga segala rahsia dan amanat yang diberikan.
Alif - Angkat
Meletakkan dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan.
Ya - Yakin
Yakin kepada kebolehan diri sendiri
Wau - Waras
Membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak.
Nga - Ngeri
Bersungguh-sungguh dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
Warna Gayong
Putih
Kesucian - Silat Seni Gayong adalah bebas daripada sebarang unsur yang membawa kepada keburukan dan kehancuran.
Merah
Berani/Kepahlawanan - Setiap ahli dipupuk semangat berani menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Ahli Gayong juga bersemangatkan darah kepahlawanan.
Kuning
Beraja/berdaulat - Silat Seni Gayong adalah seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu.
Hitam
Bayang-bayang/Rahsia - Merupakan sosiostatus manusia yang tidak membezakan ahli-ahli silat dari segi warna kulit dan darjat. Hitam juga membawa konotasi rahsia iaitu ilmu Silat Seni Gayong mempunyai pelbagai rahsianya (...rahsia tersimpan di purbakala,ilham menyusun zahir semula.)
Petua Langkah Gayong/Langkah Laksamana/Langkah Hang Tuah
Merupakan isyarat untuk mengetahui keselamatan diri ketika ingin memulakan perjalanan/perjuangan. Antaranya ialah:
1. Gersik di Pantai
2. Telur di Hujung Tanduk
3. Tunggul Rasulullah
4. Pagar Rakit
5. Sauh Tunggal
Senjata Gayong
Senjata Gayong berupa tongkat pendek(simbat rotan) yang di dalamnya tersembunyi senjata tajam seperti pisau.
Lambang Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendeta Za'ba di Singapura. Lambang Gayong asal terdiri daripada seekor naga sahaja. Pada lambang Gayong terdapat perkara-perkara berikut:
Bulan bintang di puncak dunia - melambangkan agama Islam menjadi teras persilatan ini.
- Bejana air - ia berkaitan dengan falsafah Gayong yang intipatinya membawa erti bersatu-padu dalam menegakkan yang hak.
- Seekor naga - ia sebagai tanda/simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Dato' Meor Abdul Rahman. Naga yang melingkungi dunia yang kepalanya hampir bercantum dengan ekornya itu melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal di seluruh dunia. Lambang dua naga dicipta semasa hendak mendaftarkan PSSGM sebagai mengenang jasa-jasa Meor Abdul Aziz, kekanda Mahaguru Meor Abdul Rahman, mengembangkan Seni Gayong di negeri-negeri di bahagian utara tanah air. Walau bagaimanapun, penggunaan lambang dua naga ini tidak berapa dipersetujui oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman. Menurut firasat beliau, penggunaan lambang naga berjuang ini dikhuatiri akan mendatangkan akibat yang kurang baik.
- Keris bersilang - melambangkan Semangat Tuah dan Semangat Jebat. Pada zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat dua orang laksamana yang gagah berani iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh dua orang Laksamana Melaka tersebut.
- Pedang Zulfakar - melambangkan kepahlawanan sahabat-sahabat Rasulullah sewaktu menegakkan syiar Islam di zaman Jahiliah.(Dalam lambang baru digambarkan dalam bentuk sebilah parang).
- Selepang Kebesaran Gayong - melambangkan Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat.
Tempat Sejarah Gayong
Terdapat empat tempat sejarah Gayong seperti yang pernah dinyatakan oleh Allahyarham Dato' Mahaguru, iaitu:
- Padang Antah Berantah di Beruas, Perak(tempat terdirinya kerajaan Gangga Negara/bermulanya sejarah Kesultanan Melayu di Tanah Melayu)
- Padang Sanai di Kedah(kawasan Mahaguru dikhatamkan)
- Pulau Sudong di Singapura(tempat bermulanya Gayong diperkenalkan semula/Pulau Temiang - tempat Tuan Syed Zainal Al-Attas menuntut ilmu Gayong daripada Daeng Ambok Solok)
- Sedili di Johor(tempat "penghujung Gayong"/berakhirnya Kesultanan Melayu Melaka dengan mangkatnya Sultan Mahmud II di tangan Laksamana Bentan, Megat Seri Rama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan